Tular di laman sosial baru-baru ini apabila janda berusia 22 tahun memuat naik status di Facebook (FB), menawarkan diri untuk perkahwinan kontrak hingga dikecam bertubi-tubi oleh netizen.
"Saya tertekan kerana keluarga minta saya kahwin cepat. Sebab itulah saya muat naik status sedemikian untuk cari calon idaman saya."
Wanita terbabit bagaimanapun tidak menyesal dikecam netizen, sebaliknya mempertahankan tindakannya itu. Memetik Harian Metro, wanita itu bercerai tahun lalu dan sedang mencari calon suami untuk berkahwin buat kali kedua.
"Saya mahu cari yang sedap mata memandang dan tidak gemuk. Benar dalam status di FB saya tidak mahu kemas rumah dan masak kerana tidak mahu dikongkong.
"Oleh kerana itu saya tawarkan duit kepada calon suami saya. Bagaimanapun tindakan saya itu dikecam dan saya tidak kisah," katanya.
Pun begitu, wanita yang juga peniaga di Sungai Petani, Kedah terbabit memadam statusnya itu kerana tak tahan dengan kecaman netizen.
Susulan itu, dia membuat FB live bagi menjelaskan kenapa dia memuat naik status sedemikian. Menurutnya, difahamkan dia sudah fobia berkahwin sebelum ini kerana sering disuruh membuat kerja rumah.
"Bukan saja ramai yang 'pm' (mesej) saya untuk menjadikan saya isteri, malah ramai yang kecam walaupun status itu sudah dipadam.
"Suka hati saya nak buat apa, ini bukan jenayah. Saya yang nak kahwin, mesti la nak cari suami yang elok. Henti sebarkan status saya itu dan apa-apa cerita mengenai saya," katanya.
Bagaimanapun, kaunselor keluarga Hushim Salleh menjelaskan perkahwinan kontrak ditegah dalam Islam.
"Nikah Muta'ah atau pernikahan yang mempunyai perjanjian tertentu adalah ajaran Syiah dan harus dielakkan.
"Individu itu seperti memperdagangkan hubungan suami isteri. Akan terjadi ungkit mengungkit dan persoalan mengenai soal maruah si isteri yang diiklankan di media sosial berkenaan," katanya.
This post have 0 Comments
EmoticonEmoticon